Assalamualaikum wbt
Mungkin ada yang menekan tajuk ini dengan rasa marah mahupun membuak rasa ketuanan "kemelayuan" kerana perkataan Allah seolah dibuat bahan jenaka. Jika ya, tahniah, anda menyalurkan kemarahan itu dengan sikap yang positif kerana, anda sudi meluangkan sedikit saki-baki nyawa untuk menilai kandungan disebalik tajuk yang penuh kontroversi.
Kontroversi ke?
Sejak kebelakangan ini, kedai kopi hipster sering mendapat sambutan yang tak terjangkau akal. Di instagram, twitter, wechat, beetalk, Facebook, dan segala mak nenek media sosial yang ada, gambar di kedai kopi ala-ala western dan bergaya sering menjadi medium untuk mendapatkan "like" yang berjuta. Iyalah, manakan tidak, bukan semua mampu menjejak kaki ke dalam kehipsteran tersebut kerana harga secawan kopi yang perisanya seolah nescafe tarik mamak sahaja mampu mencecah hingga belasan ringgit. MasyaAllah, baik makan roti telur bawang dengan teh tarik. RM5 sudah mencukupi.
Namun, ramai masih memilih untuk lepak dengan suasana hipster. Mengapa?
Sudah tentu, untuk melepak bersama rakan-rakan dengan suasana eksklusif bukanlah suatu yang boleh dilakukan setiap hari. Cuma mungkin, sekali-sekala untuk menjengah sudah memadai sekadar memperoleh pengalaman yang sukar kita perolehi. Selepas itu, mamak juga lah pilihan kita. Roti canai double kuah banjir jugak lah yang kita order.
Begitu juga hubungan kita dengan Allah. Eh? Kita selalu lepak dengan Allah? Bila? Di mana? Bagaimana? (Baca dengan nada wartawan melodi)
Jika kita tak pernah tahu yang kita pernah "lepak" dengan Allah, maka kita perlu muhasabah dan cermin di manakah takuk iman kita.
Ketika melepak, apakah aktiviti yang kita lakukan? Sudah semesti berborak, bercerita masalah, paling kurang pun, makan dan lepas tu belah. (Nada hipster)
Begitu juga kita dengan Allah.
Dalam seharian, kita "bertemu" Allah dengan dua kondisi. Pertama, atasan urusan "rasmi". Kedua, sudah tentu, melepak lah!
Urusan rasmi yang dimaksudkan adalah ibadah wajib yang perlu kita tunaikan. 5 kali dalam sehari kita ulang alik ke " Jabatan Akhirat" bagi melapor diri supaya tidak "didenda" kelak. Zakat, puasa, haji dan ibadah wajib yang lain turut kita laksanakan sebagai bukti kita hamba yang komited dan mengharapkan kepada satu-satunya kuasa yang Maha berkuasa ke atas sesuatu.
Jadi, setelah selesai urusan rasmi tersebut, maka insan yang mulia bakal meluangkan sedikit masa seharian dengan melepak dengan Allah
Sudah tentu, melepak dengan Allah, segala-galanya percuma malah diberi bonus yang kadangkala tak kita duga. "Kepingan emas" untuk melamar bidadari, geran tanah istana di syurga malah kupon makanan percuma tanpa had turut diberi jika kita sering memilih untuk mengadakan urusan rasmi dan melepak bersama Allah.
Apabila kita melepak dengan Allah, seperti membaca Al Quran, kita bakal mendengar Allah bercerita, menasihat dan memberi panduan hidup yang lengkap dan sempurna
Apabila kita dibelenggu masalah, lepak lah dengan Allah! Solat sunat, zikrullah, selawat dan banyak lagi merupakan aktiviti yang kita lakukan semasa melepak dengan Allah. In shaa Allah, lepak dengan Allah tidak membawa mudarat atau membazir masa malah, segala macam "bonus" bakal kita perolehi
Maka, beruntungkan melepak dengan Allah?
Nak lepak dengan Allah dekat kedai kopi hipster?
Rakan-rakan, sekarang kan bulan ramadan. Sedar atau tidak, Allah sudah menyediakan sebuah "kafe hipster" di mana kita bakal diberi "kopi pahala" yang jauh lebih mahal, malah segala yang kita pohon akan "diluluskan" dengan kadar segera.
Jadi, ayuh, jom lepak dengan Allah!!