Sunday, 13 September 2015

Rindu

Adakah kerana dosa?

Adakah kerana dosa, Tuhan seperti menjarakkan darjat kita berdua?

Adakah Implikasi yang menghitamkan apabila aku melakukan sesuatu dosa, menyebabkan Tuhan menjauhkan kita agar engkau tidak tercalit sama?

Adakah Implikasi yang melalaikan apabila melakukan sesuatu dosa, menyebabkan Tuhan menghijabkan kita berdua agar engkau tidak terjerat sama?

Jika ya, maka rugilah aku sebagai manusia.

Terseksalah aku dihimpit rindu akan suasana syurga yang kita lalui dahulu.

Bohong jika aku ungkap rindu ini sementara!

Jiwa yang mati disembelih dosa

Meraung akan jalan untuk mendapatkan peluang dihidupkan semula

Aku rindu

Aku rindu akan saat engkau menceritakan betapa indahnya istana syurga

Aku rindu akan saat engkau menangis betapa hinanya jika neraka memilih kita menjadi ahlinya

Aku rindu akan saat gerombolan yang menarik tangan aku daripada tergelincir

Aku rindu akan saat Sang Panglima memapah aku tika aku parah dan hampir menyerah

Aku rindu akan saat sebelum kau melepaskan aku, kau bisikkan janji Tuhan untuk aku yang berdosa

Janji tuhan untuk aku Sang Pendosa akan peluang yang kedua

Tuhan

Kau sisipkan rindu ini kepada Dia dan Mereka walaupun sekelumit

Bulatan syurga yang mungkin aku khianatkan, tetapi tali peringatan sampai mati aku pertahankan

Aku rindu Dia dan Mereka

Kepada: Sang Panglima dan Gerombolannya

Daripada: Pengkhianat dan Pendosa

Friday, 10 July 2015

Lepak Kedai Kopi Hipster Dengan Allah. Eh?

Assalamualaikum wbt

Mungkin ada yang menekan tajuk ini dengan rasa marah mahupun membuak rasa ketuanan "kemelayuan" kerana perkataan Allah seolah dibuat bahan jenaka. Jika ya, tahniah, anda menyalurkan kemarahan itu dengan sikap yang positif kerana, anda sudi meluangkan sedikit saki-baki nyawa untuk menilai kandungan disebalik tajuk yang penuh kontroversi.

Kontroversi ke?

Sejak kebelakangan ini, kedai kopi hipster sering mendapat sambutan yang tak terjangkau akal. Di instagram, twitter, wechat, beetalk, Facebook, dan segala mak nenek media sosial yang ada, gambar di kedai kopi ala-ala western dan bergaya sering menjadi medium untuk mendapatkan "like" yang berjuta. Iyalah, manakan tidak, bukan semua mampu menjejak kaki ke dalam kehipsteran tersebut kerana harga secawan kopi yang perisanya seolah nescafe tarik mamak sahaja mampu mencecah hingga belasan ringgit. MasyaAllah, baik makan roti telur bawang dengan teh tarik. RM5 sudah mencukupi.

Namun, ramai masih memilih untuk lepak dengan suasana hipster. Mengapa?

Sudah tentu, untuk melepak bersama rakan-rakan dengan suasana eksklusif bukanlah suatu yang boleh dilakukan setiap hari. Cuma mungkin, sekali-sekala untuk menjengah sudah memadai sekadar memperoleh pengalaman yang sukar kita perolehi. Selepas itu, mamak juga lah pilihan kita. Roti canai double kuah banjir jugak lah yang kita order.

Begitu juga hubungan kita dengan Allah. Eh? Kita selalu lepak dengan Allah? Bila? Di mana? Bagaimana? (Baca dengan nada wartawan melodi)

Jika kita tak pernah tahu yang kita pernah "lepak" dengan Allah, maka kita perlu muhasabah dan cermin di manakah takuk iman kita.

Ketika melepak, apakah aktiviti yang kita lakukan? Sudah semesti berborak, bercerita masalah, paling kurang pun, makan dan lepas tu belah. (Nada hipster)

Begitu juga kita dengan Allah.

Dalam seharian, kita "bertemu" Allah dengan dua kondisi. Pertama, atasan urusan "rasmi". Kedua, sudah tentu, melepak lah!

Urusan rasmi yang dimaksudkan adalah ibadah wajib yang perlu kita tunaikan. 5 kali dalam sehari kita ulang alik ke " Jabatan Akhirat" bagi melapor diri supaya tidak "didenda" kelak. Zakat, puasa, haji dan ibadah wajib yang lain turut kita laksanakan sebagai bukti kita hamba yang komited dan mengharapkan kepada satu-satunya kuasa yang Maha berkuasa ke atas sesuatu.

Jadi, setelah selesai urusan rasmi tersebut, maka insan yang mulia bakal meluangkan sedikit masa seharian dengan melepak dengan Allah

Sudah tentu, melepak dengan Allah, segala-galanya percuma malah diberi bonus yang kadangkala tak kita duga. "Kepingan emas" untuk melamar bidadari, geran tanah istana di syurga malah kupon makanan percuma tanpa had turut diberi jika kita sering memilih untuk mengadakan urusan rasmi dan melepak bersama Allah.

Apabila kita melepak dengan Allah, seperti membaca Al Quran, kita bakal mendengar Allah bercerita, menasihat dan memberi panduan hidup yang lengkap dan sempurna

Apabila kita dibelenggu masalah, lepak lah dengan Allah! Solat sunat, zikrullah, selawat dan banyak lagi merupakan aktiviti yang kita lakukan semasa melepak dengan Allah. In shaa Allah, lepak dengan Allah tidak membawa mudarat atau membazir masa malah, segala macam "bonus" bakal kita perolehi

Maka, beruntungkan melepak dengan Allah?
Nak lepak dengan Allah dekat kedai kopi hipster?

Rakan-rakan, sekarang kan bulan ramadan. Sedar atau tidak, Allah sudah menyediakan sebuah "kafe hipster" di mana kita bakal diberi "kopi pahala" yang jauh lebih mahal, malah segala yang kita pohon akan "diluluskan" dengan kadar segera.

Jadi, ayuh, jom lepak dengan Allah!!

Wednesday, 24 June 2015

Banduan

Assalamualaikum w.b.t

Usangnya aku dalam penulisan sejak dua menjak ini menyebabkan benak aku memberontak semahunya. Kehidupan yang rakus dengan kesempitan menyebabkan waktu aku dihabiskan dengan menyelesaikan amanah tika roh dan jasad aku masih berfungsi sebagai khalifah. Maka, ruang penulisan aku menjadi cetek dan terhad. 24 jam kurniaan Allah gagal aku manfaatkan dengan perkara yang membebaskan jiwa aku dan aku harapkan jiwa yang membaca turut tumpang akan kebebasannya.

Sepanjang tempoh jiwa aku dipenjara, aku sentiasa mengharapkan satu jalan keluar supaya aku bebas semula. Bebas daripada tuntutan manusia yang mahu menyedut keringat aku semahunya. Yang mahu aku menjadi sekujur tubuh yang tidak menghiraukan apa itu penat. Dan tidak menghindarkan apa itu lelah. Sehingga datangnya Al-Mubarak, maka ketika itu barulah jiwa aku dibenarkan bebas semahunya.

Sepanjang aku dipenjara, aku kecewa. Ya, siapa yang tidak kecewa jika sesuatu yang menjadi medium untuk kau terus bernafas direntap daripada genggaman kau. Maka, ketika itu kau akan berusaha mencari rongga-rongga pengharapan. Biarlah rongga itu seperti samar dan tersembunyi, namun jika kau yakin, maka rongga tersebut pasti kau jumpai.

Begitu juga dengan manusia lain. "Harapan" merupakan elemen kehidupan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup. Kerana kita semua sama. Banduan yang berusaha membebaskan diri bagi mencapai sesuatu matlamat.

Namun begitu, terdapat golongan banduan yang tidak sedar sebenarnya mereka juga seorang banduan.

Aku agak terkilan apabila melihat segelintir manusia memperlekeh usaha insan yang ingin berubah. Ya, mungkin gurau senda itu pilihan kita tetapi sedar atau tidak, gurauan kita menyebabkan harapan yang diberi Azzawajalla dilindung sebuah tabir dan akhirnya, kita telah menyebabkan putus asanya seorang banduan yang lain. Mempermainkan niat seseorang untuk beribadah, berubah mahupun yang mahu mulakan langkah pertama untuk menjadi banduan yang "bebas" menyebabkan mereka merasa malu untuk menghirup harapan yang disediakan untuk mereka. Ya, mereka mungkin turut serta dalam gelak tawa kita, tetapi sedarlah, kita dah memandatorikan bahawa untuk mereka, tiada harapan yang layak dan sesuai.

Sedarlah, kita semua banduan yang serupa. Serban, kopiah, janggut mahupun jambang tidak meletakkan kita dalam hiraki yang tertentu. Harapan yang Allah beri adalah untuk semua. Jika ada yang terasa diri ini lebih baik sedikit daripada yang lain, kita hanyalah layak menjadi penyampai harapan yang ada. Bukan menentukan siapa yang layak dan siapa yang harus disingkirkan.

Aku menulis untuk membebaskan jiwa aku dan semestinya, tulisan ini juga untuk aku. Maka nasihat ini juga untuk aku dan ingatan ini juga menjadi ingatan untuk aku