Wednesday, 24 June 2015

Banduan

Assalamualaikum w.b.t

Usangnya aku dalam penulisan sejak dua menjak ini menyebabkan benak aku memberontak semahunya. Kehidupan yang rakus dengan kesempitan menyebabkan waktu aku dihabiskan dengan menyelesaikan amanah tika roh dan jasad aku masih berfungsi sebagai khalifah. Maka, ruang penulisan aku menjadi cetek dan terhad. 24 jam kurniaan Allah gagal aku manfaatkan dengan perkara yang membebaskan jiwa aku dan aku harapkan jiwa yang membaca turut tumpang akan kebebasannya.

Sepanjang tempoh jiwa aku dipenjara, aku sentiasa mengharapkan satu jalan keluar supaya aku bebas semula. Bebas daripada tuntutan manusia yang mahu menyedut keringat aku semahunya. Yang mahu aku menjadi sekujur tubuh yang tidak menghiraukan apa itu penat. Dan tidak menghindarkan apa itu lelah. Sehingga datangnya Al-Mubarak, maka ketika itu barulah jiwa aku dibenarkan bebas semahunya.

Sepanjang aku dipenjara, aku kecewa. Ya, siapa yang tidak kecewa jika sesuatu yang menjadi medium untuk kau terus bernafas direntap daripada genggaman kau. Maka, ketika itu kau akan berusaha mencari rongga-rongga pengharapan. Biarlah rongga itu seperti samar dan tersembunyi, namun jika kau yakin, maka rongga tersebut pasti kau jumpai.

Begitu juga dengan manusia lain. "Harapan" merupakan elemen kehidupan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup. Kerana kita semua sama. Banduan yang berusaha membebaskan diri bagi mencapai sesuatu matlamat.

Namun begitu, terdapat golongan banduan yang tidak sedar sebenarnya mereka juga seorang banduan.

Aku agak terkilan apabila melihat segelintir manusia memperlekeh usaha insan yang ingin berubah. Ya, mungkin gurau senda itu pilihan kita tetapi sedar atau tidak, gurauan kita menyebabkan harapan yang diberi Azzawajalla dilindung sebuah tabir dan akhirnya, kita telah menyebabkan putus asanya seorang banduan yang lain. Mempermainkan niat seseorang untuk beribadah, berubah mahupun yang mahu mulakan langkah pertama untuk menjadi banduan yang "bebas" menyebabkan mereka merasa malu untuk menghirup harapan yang disediakan untuk mereka. Ya, mereka mungkin turut serta dalam gelak tawa kita, tetapi sedarlah, kita dah memandatorikan bahawa untuk mereka, tiada harapan yang layak dan sesuai.

Sedarlah, kita semua banduan yang serupa. Serban, kopiah, janggut mahupun jambang tidak meletakkan kita dalam hiraki yang tertentu. Harapan yang Allah beri adalah untuk semua. Jika ada yang terasa diri ini lebih baik sedikit daripada yang lain, kita hanyalah layak menjadi penyampai harapan yang ada. Bukan menentukan siapa yang layak dan siapa yang harus disingkirkan.

Aku menulis untuk membebaskan jiwa aku dan semestinya, tulisan ini juga untuk aku. Maka nasihat ini juga untuk aku dan ingatan ini juga menjadi ingatan untuk aku

1 comment: