Sunday, 21 September 2014

Sepasang Kaki



Assalamualaikum w.b.t…
Berjalan aku di atas tanah sementara ini sudah lama. 20 tahun bagi aku cukup lama. Sehingga aku sudah lupa bilakah kali pertama aku mampu melangkah
dan ia membuktikan aku perjalanan aku cukup lama. Berjalan dengan sepasang kaki pemberian Maha Agung ini cukup aku nikmati. Mampu kesana kemari tanpa perlu mengharap ihsan sangat aku syukuri.

Namun, sudah cukup bersyukur kah aku?
Seperti biasa, waktu lapang di tempat kerja, aku gemar menyelak diari hijau aku. Catit-catitan aku bukanlah bersifat peribadi mahupun jiwang yang sering masyarakat umum melihat apakah itu “DIARI”. Namun, jika suatu hari nanti jika diari aku tercicir dan dikutip oleh seseorang, tentu insan itu menyesal sehingga menangis esak. Kerana, yang selalu mempunyai diari adalah daripada golongan Hawa, tetapi yang diharapkan tidak kesampaian. Cuma menjumpai sebuah diari seorang jejaka hodoh, gemuk dan tak bermaya. Maafkan saya tuan.

Namun, sebelum aku menyelak diari tersebut, aku diuji dengan terseliuhnya kaki aku secara tiba-tiba. Dalam bahasa orang perak, terpeleo’t kaki aku tepat dihadapan seorang pengawal keselamatan berbangsa Bangladesh. Aku lihat, dia mahu ketawa, tetapi demi menjaga ketampanan aku, dia mengalihkan pandangan beliau kearah lain.

Sejurus selepas peristiwa “Peleo’t” itu, ketika itu lah aku mula menyelak diari aku. Kerja sudah selesai, maka masa terluang aku penuhi dengan membaca sebagai strategi memperlihatkan diri kepada bos-bos gagah yang aku gigih berkerja. Bukan menipu tetapi strategi wahai rakan-rakan. Namun, tersentak aku apabila melihat satu nota panjang yang aku catitkan. Iaitu kisah “Sepasang Kaki” yang penuh dengan perjuangan. Sedangkan kaki aku yang terpeleot sedikit pun aku keluh, namun sepasang kaki ini jauh sekali bersikap seperti aku.

***************************
Ketika itu, sudah ramai yang melakukan perjalanan. Yang lebih awal bagi survival diri akibat ditekan hebat oleh kaum musyrikin. Namun, terdapat 2 orang sahabat yang masih teguh Iman dan semangat sementara menunggu “arahan” daripada Tuhan Sekalian Alam.

Petang yang cerah tetapi gelap diselubungi jahiliyah, Darul Nadwah (parlimen Mekah) sedang bersidang. Secara logic akal, parlimen-parlimen dunia bersidang bagi membincangkan sesuatu yang mendorong kea rah kemajuan dan kebaikan, tetapi petang itu Darul Nadwah membincangkan secara serius bagaimana menutup pintu cahaya hidayah yang diutuskan kepada mereka.

Ya, mereka sedang membincangkan bagaimana melumpuhkan seorang manusia mulia bernama Muhammad. Pelbagai usul ditolak. Mereka hanya mahu menerima idea yang terbaik. Mereka mahukan idea yang canggih! Tidak main lah hanya memberikan idea “Jambatan Ke-2 Pulau Pinang” tetapi mereka mahukan “Kapal Selam” bagi memenuhi hasrat jijik mereka.

Namun, menjadi kemusykilan, idea mereka ditolak oleh seorang tua yang tidak kenali. Kebodohan mereka terserlah apabila mengikuti sahaja apa-apa yang diperkatakan oleh Si Kerepot itu. Namun, Abu Jahal berjaya melontarkan sebuah idea “Kapal Selam Torpedo” yang diterima oleh Si Kerepot tersebut yang hanya sebuah jelmaan Iblis Laknatullah.

Lalu, akibat persetujuan Si Kerepot itu, lelaki gagah daripada setiap kabilah dikumpulkan. Mereka bukan setakat gagah, tetapi membawa misi yang sangat besar iaitu “Misi Pembunuhan” seorang Nabi Allah bernama Muhammad.

Namun, siapa lagi yang mahu melindungi Sang Kekasih jikalau bukan kekasihnya sendiri. Pada 26 Safar, turunlah wahyu mengarahkan Manusia Mulia itu untuk bergerak ke Madinah. Hijrah nya Rasulullah bukanlah berseorangan tetapi bersama sahabat karib baginda, Abu Bakar As-Siddiq. Sahabat yang sanggup menukar nyawanya demi seorang Rasul Mulia. Seorang sahabat yang memelih seksa dunia untuk kunci sebuah Syurga.

Saat getir telah bermula. Malam 27 Safar, 11 orang kabilah sudah menunggu di hadapan pintu dengan nafsu yang membuak untuk mengekalkan kejahiliyahan mereka. Keinginan mereka membuak sehingga anadai kita di sebelah baginda, tentu perasaan kita berbelah bahagi antara meneruskan perjalanan atau meninggalakan medan perjuangan.

Tetapi tidak bagi Saiyidina Ali. Semangat kental seorang remaja sememangnya layak untuk berada di samping baginda. Menawarkan diri untuk tidur di tempat manusia yang dikehendaki seperti meletakkan mata pedang di leher sendiri. Namun, Ali bukanlah pengecut seperti kita, Kerana itu lah dia manusia terpilih berbanding kita untuk bersama baginda.

Waktu berdetik dan tidak boleh dilengah lagi. Sebelum baginda melangkah keluar, ayat ke-9 Surah Yasin tanda pengaharapan kepada Allah menjadi ungkapan bibir. Lalu baginda berlalu keluar tanpa dilihat 11 orang gagah, tetapi “dibutakan” Allah SWT. Baginda bergegas ke rumah sahabat baginda Abu Bakar.

Namun, seorang lelaki menyedari ke “butaan” 11 orang gagah tersebut lalu menegur, kenapa tidak menyerang lagi? Lalu bergerombolan lah mereka masuk ke rumah tetapi kecewa, pedang yang dihunuskan kepada seorang remaja, bukanlah seorang Pemuda Kekasih Allah itu.

Perjalan baginda merupakan perjalan yang luar biasa. Jika mahu ke Madinah lebih dekat jika kea rah utara. Tetapi mereka ke arah selatan, kemudian ke barat dan seterusnya barulah ke utara sebagai satu strategi yang disusun rapi. Sebagai idealogi, dari Terengganu hendak ke Kelantan tetapi melalui Pahang, kemudian ke Perak dan selepas itu baru menuju ke Kelantan.

Sampai di kaki Bukit Thur, sepasang kaki kekasih Allah itu sudah melecet. Perjalanan berpuluh atau berates kilometer itu, tidak dapat aku bayangkan lecetan kaki Rasulullah ketika itu. Namun, baginda mempunyai seorang sahabat yang dijanjikan syurga di samping baginda. Dipapah nya Rasulullah hingga ke puncak.

Pengorbanan Abu Bakar lebih daripada Dinar. Abu Bakar memberikan sehingga nyawa menjadi galang gantinya. Sebelum memasuki Gua Thur, Abu Bakar menghalang Rasulullah daripada memasukinya dahulu lalu berkata “Demi Allah, jangan kau masuk kedalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Jika ada apa-apa bahaya, biar aku yang kena, jangan engkau”.

Rasulullah tersangat letih lalu tertidur di pangkuan Abu Bakar. Ketika itu, Abu Bakar terlihat sebuah lubang yang mempunyai seekor ular. Di tutup lubang itu sehingga Abu Bakar dipatuk. Namun, kasih sayang terhadap Rasulullah lebih daripada nyawanya sendiri. Di tahan kesakitan itu walau tidak terperi.

Selepas 3 hari, mereka meneruskan perjalanan. Perjalanan yang masih jauh. Namun sepasang kaki itu terus di gagahkan. Singgah di Quba dan rumah Kalthum bin al-Hadam. Disitu terasasnya sebuah masjid. Disitunya saksi semangat yang tidak pernah padam.

Dan kemudian, singgahnya baginda di perkampungan Bani Salim yang dihadiri 100 orang Jemaah membuktikan Islam sudah tersemat luas dengan usaha Rasulullah mendidik para sahabat yang gagah Iman mereka. Dan selepas selesai solat Jumaat, maka tibalah Rasul Allah itu ke sebuah Kota yang ampuh lagi kukuh sebagai asas pembinaan empayar Islam 
itu sendiri.

********************************************

Serba sedikit sirah yang diungkapkan masih belum cukup merungkai pengorbanan seorang Rasul Allah. Pengorbanan baginda bukanlah untuk mendapatkan wang menyara keluarga tetapi sebagai usaha mendapatkan setiap umatnya kunci-kunci syurga.

Dek digagahkan sepasang kaki itu maka nikmat yang Islam mampu kita miliki sehingga sekarang. Bayangkan jika Muhammad SAW merungut lecetan kaki baginda seperti aku merungut terpeleot kakinya, maka nama aku sekarang bukanlah Luqman Afendy tetapi mungkin John Kennedy.

Bayangkan jika rasul Allah itu memilih wanita dan harta yang ditawarkan, maka tiada lah Surau An-Najah tetapi terbinanya sebuah Gereja St Taman Universiti yang tersegam gagah.

Bayangkan, jika lenguhan kaki Rasul Allah itu diambil peduli dan baginda memilih berehat di atas katil yang empuk, maka tiadalah gelaran ustaz atau ustazah. Yang ada hanyalah Father and Sister yang berpakaian hitam dan bersalib di dada nya.


Kerana sepasang kaki berbekal takwa itu lah, nilai syahadah kita peroleh, kerana sepasang kaki berbekal Iman itu lah Iman itu kita nikmati.

p/s: tugasan usrah yang tertunggak tidak pernah aku lupa. Tetapi bukan sekadar tugasan yang aku utamakan. tetapi kisah pengorbanan yang ingin aku tonjolkan

No comments:

Post a Comment