Assalamualaikum wbt
"Kenapa umat Islam hipokrit?" yaya bertanya.
Dalam bidang kejuruteraan, semestinya kita
sudah lali mendengar terma "maximum and minimum point" atau turning point dan pelbagai lagi terma bagi membuktikan bahawa setiap proses atau keadaan mempunyai had dan titik pertukaran. Dalam kejuruteraan, segala perkara yang hendak dibuktikan mempunyai jalan penyelesaian, dan pengiraan merupakan salah satu cabang untuk menyelesaikan sebarang bentuk masalah. Walau bagaimanapun, peristiwa tahun 2006 yang aku alami telah aku cuba pelbagai bentuk pengiraan. Pelbagai bentuk formula aku cuba untuk menyelesaikan indikasi titik pertukaran yang aku alami. Sehingga sekarang aku gagal. Sering aku temu jalan buntu dan sering juga aku temu jawapan yang luar daripada ruang batas logika. Kerana apa? Peristiwa apakah yang menyebabkan tiada titik noktah dan simbol "=" dalam hidup aku?
"Kenapa umat Islam HIPOKRIT?" yaya bertanya. Aku tersentap seketika. Termanggu aku dengan lontaran tajam daripada seseorang yang lahir sebagai ISLAM. Aku tersentap bukan kerana aku terkejut mahupun melatah dengan soalan tersebut. Walhal, aku sudah lama maklum, makhluk Allah yang sedang duduk bersimpuh sebelah aku di atas sofa empuk ini sudah mengambil jalan yang membawa keluar daripada akidah Islam itu sendiri. Aku cuma tersentap dengan soalan yang pertama kali aku dengari. "Kenapa umat Islam hipokrit?" Aku memaksa senyuman dan cuba menunjukkan riak wajah selamba dan mula membuka bicara, "Kenapa yaya tanya macam tu?" dengan riak muka yang hambar dia melontarkan isi hatinya yang selama ini dipendam daripada sesiapa termasuk kedua ibu bapanya.
"Can't you watch on the TV? Orang melayu (Islam) dulu masa P.Ramlee pakai kebaya ketat-ketat. Tapi sekarang sibuk suruh orang pakai tudung, pakai labuh-labuh. And one more thing, kenapa bila yaya baca bible lagi senang faham daripada baca terjemahan Al-Quran?"
Aku terpukul dengan soalan yang dilontarkan. Sebenarnya lebih banyak soalan diajukan kepada aku tetapi aku lupa sebahagian daripadanya. Tetapi dua soalan ini sehingga sekarang membuat aku malu kerana aku sekadar Islam dicetak oleh dokumen. Yaya merupakan kenalan aku, rapat sehinggakan segala perkara yang keluarganya tidak tahu, aku tahu. Yaya merupakan seorang muslim, dilahirkan dalam golongan muslim tetapi menetap di sebuah negara yang gah dan dikenali ramai. Tahun 2006, yaya pulang ke Malaysia. Aku agak terkejut berbaur genbira kerana kepulangan yaya adalah secara tiba-tiba dan seperti mengejut dan tidak disangka-sangka. Akhirnya aku maklum, kepulangan yaya adalah disebabkan yaya. Kepulangan yaya adalah untuk kebaikan yaya. Bagi mengikhtiarkan jalan yang terbaik untuk yaya yang telah mengambil keputusan unutk memutuskan simpulan akidah yang bertahun dipupuk dalam keluarga Islam.
Pada mulanya, aku dimaklumkan yaya memilih jalan tersebut kerana cinta terhadap seorang lelaki. Lelaki yang bukan Islam. Lantas, akibat cinta yang dianggap agung sehinggakan sebutir mutiara iman yang diberi secara percuma, dilempar tanpa kasih dan kesedaran. Malah, "iman baru" yang diyakininya dipertahankan apabila orang sekelilingnya memujuk untuk kembali kepada Islam, memujuk supaya kembali kepada jalan yang benar. Yaya tetap berdegil. Tangisan seorang ibu pun dia tidak hiraukan. Malah, semakin kuat pujukan orang sekeliling, semakin kuat yaya mempertahankan Kristian yang baru difahaminya. Ketika itu, barulah orang sekelilingnya mula mengkaji Islam lebih mendalam bagi menangkis hujah yaya yang dilontarkan atas dasar nafsu dan keinginan semata. Jika hujah tidak dapat ditangkis dengan mutiara kata, hayunan tangan kepipi yaya yang putih itu bertukar merah menjadi jalan hujah yang terakhir.
Namun hubungan aku dengan yaya seperti biasa. Aku sangat rapat dengan yaya walaupun yaya tinggal di luar negara, pulang ke Malaysia 2 hingga 5 tahun sekali, kami seperti tiada halangan untuk berkongsi pendapat seperti yang dilakukan ketika kami kecil. Keluarga yaya pula melayan aku seperti ahli keluarga mereka sendiri. Aku juga sering menetap di rumah yaya dengan izin keluarga yaya kerana adik-adik yaya juga seperti adik beradik aku sendiri. Rumah kami juga tidak berjauhan kerana kami berjiran.
Soalan yaya menyebabkan aku kaget. Nafasku seperti tersekat bagi meneruskan bicara. Fikiran aku seperti sebuah kotak yang tertutup tetapi isinya kosong. Ketika itu aku hanya berumur 12. Dan fikiran aku masih tertutup dan keanak-anakan. Namun, logik akal aku sudah lama terbentuk. Aku terdiam sejenak kerana soalan yaya tidak bodoh. Soalan yaya merupakan satu soalan yang kita sebagai umat Islam harus mempunyai segenggam jawapan yang konkrit lagi difahami. Tetapi mengapa ketika itu aku diam? Kenapa aku kaku seperti sebatang tiang yang ditanam di tengah padang pasir. Kukuh, kuat , tetapi biar ribut membadai dan membiarkan pasir-pasir itu terus menghentam aku tanpa berbuat apa-apa. Aku tertunduk.
Bayangkan, nikmat Iman dan Islam yang diberi secara percuma ketika seseorang itu lahir daripada rahim seseorang yang Islam tidak semestinya berakhir dengan kemanisan nikmat itu masih kekal sehingga akhir hayat kita. Kenapa kita masih selesa? Tidakkah kita terfikir yang suatu hari nanti kita akan melalui perkara yang sama? Perkara yang perlu diambil lebih serius adalah bagaimana caranya kita mahu menghadapi situasi seperti ini?
Tarbiyah adalah sebuah proses. Dalam terma kejuruteraan, proses mempunyai peringkat. Dan proses yang dinamik dan efisien adalah proses yang mempunyai "feedback" atau dengan kata lain berterusan ataupun istiqamah. Insan seperti yaya memerlukan sesuatu yang berterusan tanpa rasa jemu. Kenapa yaya diberi dugaan seperti itu? Adakah Allah sudah tidak menyayangi yaya? Jika Allah tidak sayang, kenapa Allah masih tidak menghukum yaya sehingga sekarang? Mengapa yaya masih kekal sihat, tidak ditimpakan sebarang musibah berat akibat perbuatannya? Kerana Allah sayangkan yaya. Allah masih membuka pintu taubat ubtuk yaya. Dan Allah juga membuka peluang kepada kita untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah terjadi kepada yaya. Allah mahu kita menjadi khalifah yang sebenar. Saling bantu membantu dan belajar untuk menjadi seorang Islam yang sempurna. Perlukah kita menggunakan kederat dan kekuatan tangan sebagai pengajaran keapada insan seperti yaya? Perlukah sebuah pengajaran diberikan sebegitu rupa tanpa hemah dan hikmah? Apakah jawapan anda jika suatu hari nanti, anda berhadapan dengan situasi seperti yaya dan insan itu bertanya "Kenapa perempuan kena pakai tudung?" Adakah anda perlu memberikan jawapan seperti "Dalam al-quran kan dah cakap pakai tudung, pakai je lah. Tak setuju? Nak jadi kafir ke? Nak kena bakar?"
Jika anda memberikan jawapan sedemikian, maka satu kerugian buat Islam kerana kehilangan seorang umatnya dan anda bakal menjadi sebatang tiang di tengah padan pasir yang tidak berguna.
P/s: kisah yaya merupakan kisah benar yang dilalui oleh aku sendiri. Aku mengharapkan doa supaya hidayah diberi kembali kepada yaya. Tiada tokok tambah dalam penceritaan. Cuma nama sebenar yaya dan kisah nya terpaksa dipendekkan dan diolah kerana aib nya dan keluarganya. Ya Allah, kembalikan lah hidayah Mu kepada yaya
No comments:
Post a Comment