dua orang kanak-kanak lelaki berjalan tergedek-gedek keluar daripada bilik air kerana baru sahaja selesai membersihkan diri. Tubuh badan mereka hanya dilitup sehelai tuala paras pusat. Wajahnya mereka tampak girang dapat meluangkan masa mandi bersama. Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka berteriak "Weyh, pusat Amin berdaki lah!! hahahahaah!!!" penuh "nikmat" Syahir mentertawakan pusat sepupunya yang kehitaman. Amin tidak pula kelihatan marah. Malah makin tersengih lebar, menutup mulut sambil menundingkan jari ke pusat Syahir lalu "Pusat kau lagi teruk!! Timbul kut!! hahahahaahah!!!!" Maka, tercipta lah sebuah pentas Raja Lawak Hambar di mana merekalah peserta, juri serta penontonnya. Tawa mereka sebagai seorang kanak-kanak langsung tidak menimbulkan pertelingkahan akibat hubungan persaudaraan yang akrab
Jadi apakah kaitan pusat Amin dan Syahir. Apakah kelebihan pusat mereka sehinggakan mahu dibicara? Adakah timbulnya pusat itu membuat ia kelihatan menarik ataupun legap dan gelap nya pusat itu menambah lagi daya tarikan dan kecantikan pusat Amin dan Syahir?
Setiap manusia yang dilahirkan normal dikurniakan satu anugerah yang jarang sekali disyukuri oleh umat manusia. Anugerah itu ialah sebentuk pusat. Pusat secara amnya kelihatan seperti tiada fungsi kepada kehidupan seharian manusia malah hanya seperti kelengkapan bagi membolehkan seseorang itu kelihatan sebagai seorang manusia yang normal. Seperti hidung, mulut, tangan, kaki dan sebagainya mempunyai kegunaan yang telah dikhususkan malah manusia akan tempang dalam kehidupan seharian jika kehilangan salah satu daripadanya. Tetapi pusat?
Tahun ini aku berumur 20 tahun. Sudah 20 tahun aku meninggalkan rumah indah sementara aku iaitu rahim ibuku untuk terus bermusafir di alam ciptaan Allah ini. Maka, benar atau tidak jika aku nyatakan bahawa sudah 20 tahun jugalah pusat aku telah diberhentikan nikmatnya? Ingatkah kita kepada corong gelap yang membolehkan sejenis paip disambungkan terus menembusi ruang pemakanan kita bagi mebolehkan kita menikmati hidangan KELAS PERTAMA? Hidangan yang tidak perlu dikunyah malah terus menerima zatnya? Kini adakah pusat itu sudah kehilangan fungsi seperti mana suatu ketika dahulu?
TIDAK. Pusat itu masih berfungsi. Namun fungsi ini sering diabaikan. Manusia kini tidak lagi menghargai fungsi sebentuk pusat. Berfungsi sebagai tanda kekal, yang tidak dapat dihilangkan walau apa cara sekalipun. Tanda kekal? Apakah tanda kekal itu?
Pusat sebenarnya sebentuk parut yang membuktikan kekuasaan Allah itu sendiri. Membuktikan Allah itu Maha Mengetahui segala keperluan hamba-hamba ciptaannya. Namun, disebalik itu, mengapa Allah membiarkan bekas saluran makanan kita itu kekal berlubang tanpa ditutup kembali?
Hujan, terik panas, malah cuaca yang dingin membuatkan Sang Ibu yang sedang membawa permata hatinya di dalam rahim gelisah? Walau bagaimanapun si ibu bukan gelisah kerana risau akan kesihatannya namun lebih mementingkan keselesaan kandungannya. Jika dirujuk pada biologi manusia, suhu ideal tubuh badan adalah pada 35 darjah dan suhu itu tidak berubah mahupun terjejas oleh pengaruh luar kerana manusia berdarah panas. Suhu dalaman manusia dikawal rapi kitarannya. Namun si ibu masih bimbang akan keselesaan kandungannya. Mengapa?
Tangisan malam, rengekan manja, raungan ketidak puas hati seorang anak juga dilayan selembut mungkin. Jika anak merengek lapar, si ibu sanggup memberi hidangan kegemarannya kepada si anak tanpa memikirkan kepentingan dirinya. Jika anak menginginkan sesuatu yang diluar kemampuan ibunya, ibunya mungkin berkata tidak namun si ibu tetap berusaha dengan kudrat yang ada untuk memenuhi permintaan anak tersebut. Mengapa?
Ketika si ibu sedang mengerang kesakitan akibat penyakit yang dihidapinya, mengapa apabila dihadapan anaknya, selontar kokohan pun sedaya upaya disembunyikan di hadapan anak-anaknya? Walhal sebelum ini si ibu dengan sabar dan tabah melayan si anak dengan lelehan air hingus di tengah malam, mengabaikan kitaran waktu tidurnya bagi memberi layanan istimewa kepada anaknya.
Jadi anda sudah tahu apakah kegunaan pusat sebenarnya? Pernakah kita memegang pusat kita dan berkata "Jika dahulu ibuku memilih untuk tidak berkongsi jalinan ini bersamaku, jika dahulu ibu memilih untuk memotong jalinan ini dan membiarkan aku mencari zat aku sendiri, apa mungkinkah aku mampu berdiri di sini seperti mana aku berdiri sekarang?" Allah juga mahu mengajar manusia yang parut kekal itu menandakan besarnya pengorbanan seorang insan bernama ibu.
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w lantas bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku berbuat baik dan mendampinginya. Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Bapa kamu.
Ibu adalah semulia-mulia insan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Tangisan ibu kerana kegembiraan mampu memadamkan sepanas-panas api neraka. Namun tangisan kehampaan seorang ibu mampu menghumbankan kita ke dasar neraka sedalam-dalamnya.

No comments:
Post a Comment