Assalamualaikum wbt.
Sudah lama aku meninggalkan ruang ini berhabuk dan ketinggalan. Adakah minat aku pudar? Adakah bakat aku samar? Entah, biarlah tanda soal itu berdiri sendiri tanpa erti. Selama ini,
aku hanya menggunakan penulisan sebagai medium melempiaskan segala sisa-sisa hati yang tidak mampu diluahkan. Penuh dengan karakter antagonis dan sifat egois akibat sisa yang busuk itu tidak mampu aku ungkap dan kongsikan dengan kata-kata. Jadi penulisan telah sedikit sebanyak membantu aku. Namun, seperti sebuah kereta, setinggi mana pun harga kereta tersebut, jika kereta itu sentiasa digunakan di jalan yang berlopak, tanah yang tidak rata, dan ditaburi paku-paku tajam maka kereta itu pendek hayatnya. Keadaan sebaliknya jika kereta tersebut digubakan di jalan yang rata, diturap sempurna dan baik penjagaannya. Begitu juga aku tafsirkan bakat atau kelebihan seseorang. Luahan hati, benci, dendam dan egoistik merupakan jalan yang berlopak, tidak rata dan penuh dengan paku-paku tajam untuk bakat seseorang. Tidak mustahil bakat itu berkembang tetapi ketajaman bakat itu tidak lagi setajam bakat yang digunakan dengan kelembutan, bermatlamat dan mempunyai tunas fikiran yang bernas.
"Orang yang tidak menjalankan dakwah hanyalah seperti mayat yang bernyawa". Titipan ungkapan ini membuat aku berfikir sejenak. Sedang asyik manusia lain dalam bulatan itu mendengar mutiara kata daripada seorang naqib, pendengaran aku mula kabur. Yang aku dengar hanyalah ulangan ungkapan tersebut tanpa henti. Aku seperti tidak percaya kerana tidakkah seperti suatu keajaiban kerana jawapan yang aku cari selama bertahun kini aku jumpa hanya daripada sekelompok kecil manusia yang berlumba-lumba mencari, menggali dan menyimpan ilmu. Selama ini aku mencari dengan kepayahan logik tetapi jawapannya hadir selembut tafsiran fakta yang terbentang luas dalam kotak akal manusia untuk sekian lamanya.
Aku tersentap. Aku tersentap kerana aku sedar aku salah. Selama ini aku menyalahkan diri, menyalahkan manusia, takdir dan ketentuan akibat kekosongan hati yang aku alami. Aku menjangkakan aku memerlukan seseorang untuk mengisi kekosongan hati tetapi rupa-rupanya selama ini aku hanya mayat yang bernyawa. Berjalan di muka bumi hanya berbekalkan rongga untuk bernafas tetapi jiwa aku kosong kerana meninggalkan sesuatu yang menjadi kewajipan. Kini aku sedar, kelebihan yang aku miliki bukan untuk aku sendiri. Aku perlukan ia untuk menjadi seorang yang bernyawa.
Bukan menjadi seperti bangkai yang bernyawa.
"Manusia umpama logam, Baiknya ketika jahiliyahnya, baiknya ketika Islam. Sekiranya dia faham"
No comments:
Post a Comment